Friday 10 January 2014

PU HAFIZ Juara Pencetus Ummah




Alhamdulillah, kini sudah berlabuhnya tirai sebuah program pencarian pendakwah terulung di Malaysia iaitu Pencetus Ummah yang dilihat menjadi fenomena pada sekitar penghujung tahun 2013 dan awal tahun 2014 ini. Program yang disiarkan secara langsung melalui saluran Astro Oasis ini menyaksikan seorang pensyarah qiraati dan Naib Presiden Akademik di Kolej Hafiz, Klang ini telah dinobatkan sebagai juara dan mengetepikan 3 pesaing lain yang cukup berbakat di pentas final Mimbar Pencetus Ummah semalam. Dilihat persembahan beliau yang sangat berbeza dan menyentuh hati, mungkin antara kelebihan serta garapan sempurna hujah dan tazkirah yang disampaikan telah membuatkan beliau layak dinobatkan sebagai juara sulung program Pencetus Ummah ini menewaskan PU Shahul (Naib Juara), PU Yeop (Tempat Ketiga) dan PU Rahmat (Tempat Keempat).



Pada mimbar Pencetus Ummah semalam 9 Januari 2014 menyaksikan setiap peserta diberikan 2 tugasan tazkirah dengan berbekalkan 2 tema yang berbeza iaitu Pilihan Pendakwah pada pusingan pertama dan Kisah Rasulullah pada pusingan kedua. Senarai tugasan yang diberikan kepada para peserta ;

PU Shahul – Ibu Bapa Hebat, Anak… (daripada Prof Izy Haji Ali)
PU Hafiz – Untung Dunia Untung Akhirat (daripada Ustaz Haslin)
PU Yeop – Kenapa Doaku Tidak Dimakbulkan (daripada Ustaz Syed)
PU Rahmat – Kekasih vs Maha Pengasih (daripada Dr Rabiah)

PU Shahul – Keunggulan dan Kehebatan Nabi Muhammad S.A.W
PU Hafiz – Cinta Rasulullah
PU Yeop – Hikmah di Sebalik Pengembalaan Kambing
PU Rahmat – Andai Rasulullah Bersama Kita



Setiap peserta mengerah seluruh ilmu yang dimiliki dan diberikan oleh Murabbi mereka bagi menjayakan final ini dengan berjaya. Para peserta juga menampilkan kelainan untuk menarik minat penonton sekaligus juri yang menyumbang 70% dalam pemarkahan. Dengan dinobatkan sebagai juara sulung Pencetus Ummah, PU Hafiz membawa pulang sebuah kereta Toyota, wang tunai RM50,000, pakej mengerjakan Umrah, percutian ke negara China, sebuah trofi penghargaan serta hadiah-hadiah lain yang menarik. PU Shahul, PU Yeop dan PU Rahmat juga tidak pulang dengan tangan kosong kerana mereka juga mendapat beberapa hadiah yang menarik.



Malam akhir Mimbar Pencetus Ummah diadili oleh beberpa juri yang professional dari bidang keagamaan dan persembahan iaitu Ustaz Kazim Elias, Hajjah Habsah Ommar, Datuk Hassan Mahmud dan Aznil Nawawi. Semoga program seperti ini akan diteruskan buat masa hadapan malah dapat dijadikan contoh yang terbaik. Semoga kesemua peserta bakal maju ke depan menjadi pendakwah terbilang insyaAllah.




 kredit gambar : page rasmi Pencetus Ummah

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...